Walaupun agak kejam dan tragis bunyinya, saya pasti orang ramai yang terserempak dengan kereta sedan berwarna hitam itu terkesan dengan ‘pengakuan’ yang dikongsikan.

Sama ada benar atau ha­nya sekadar gimik, mesej itu tetap memberi tamparan yang cukup pedih terutama kepada pemandu-pemandu yang gemar menggunakan te­lefon bimbit ketika berada di jalan raya.

Tabiat buruk yang semakin menjadi kebiasaan itu bagaikan barah yang menyerang pemandu di negara ini, bahkan berlaku di mana-mana sahaja tidak kira di le­buh raya, ketika tersekat dalam kesesakan lalu lintas, di hentian lampu isyarat atau di kawasan perumahan.

Lebih membimbangkan, ia turut menjadi amalan dalam kala­ngan penunggang motosikal yang seolah-olah cukup mahir dan boleh menunggang tanpa melihat. Mungkin bagi mereka perbuatan itu tidak terlalu berbahaya atau masih dalam kawalan sedangkan tindakan berisiko itu boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.

Bayangkan betapa murahnya harga nyawa insan-insan tidak berdosa yang menjadi mangsa dalam kes-kes kemalangan berpunca daripada kecuaian orang lain seperti yang banyak dilapor di dada-dada akhbar pada masa kini.

Seolah-olah masih ramai yang tidak menyedari bahaya menggunakan telefon semasa memandu sama seperti memandu dalam ke­­adaan mabuk.

Bagi saya sudah sampai masanya kerajaan bertindak terhadap masalah ini dan sesuatu yang serius harus dilakukan segera.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penggunaan telefon bimbit ketika memandu kini menjadi pen­yumbang terbesar kemala­ngan jalan raya di negara ini.

Melihat kepada statistik MIROS bahawa 43.4 peratus pemandu mengaku menggunakan te­lefon ketika memandu sudah cukup menakutkan. Dan trend ini pastinya akan terus meningkat jika tiada langkah berkesan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Justeru, undang-undang terhadap kesalahan ini perlu diperketatkan kerana jumlah saman sebanyak RM300 dilihat masih terlalu kecil untuk mengekang perlakuan itu atau mungkin lebih wajar jika hukuman penjara dipertimbangkan sebagai pengajaran.

Jika dibanding dengan negara-negara lain, tahap ke­tegasan undang-undang kita masih di peringkat minimum.

Di Oman misalnya, pemandu yang didapati bersalah boleh dipenjara se­hingga 10 hari manakala di Trinidad dan Tobago, pesalah berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga bulan.

Di kebanyakan negeri di Amerika Syarikat pula, hukum kesalahan menyebabkan kematian dalam kemalangan membabitkan kecuaian menggunakan telefon semasa memandu dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda sejuta ringgit.