Malaysia adalah antara negara yang menawarkan perlindungan sementara di bawah program sokongan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi pelarian etnik Rohingya dari Myanmar dan mangsa peperangan Syria.

Namun demikian, kesinambungan bantuan tidak seperti diharapkan selepas episod duka pelarian ‘bersambung’ dengan segelintir daripada mereka ber­akhir di kaki-kaki lima jalan, menagih simpati dari warga tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati wujud kelompok kecil warganegara Syiria yang melakukan aktiviti mengemis sepenuh masa dan lebih aneh apabila kehadiran mereka sekeluarga menjadi tumpuan berbanding pengemis-pengemis daripada negara lain mahupun pengemis tempatan.

Mungkin wajah tampan dan jelita dari Asia Barat menjadikan rakyat tempatan lebih mudah menghulurkan sehelai dua not biru, hijau atau merah apatah lagi media banyak me­nyiarkan pergolakan yang berlaku di negara asal mereka.

Menurut seorang kakitangan Masjid Negara di sini, Mohd. Hery mengakui kewujudan beberapa keluarga berketurunan Arab dan dipercayai berasal dari Syria di sekitar bagi meminta sedekah daripada kalangan pengunjung dan jemaah masjid.

Katanya, kehadiran mereka ini sudah lama berlaku dan pihak pengurusan masjid sendiri sedia maklum dan tidak mampu bertindak lanjut kerana tidak pasti status sebenar mereka sama ada pelarian berdaftar atau sebaliknya dan keadaan ini lebih gamat terutama pada hari Jumaat sebelum solat Jumaat setiap minggu.

“Ada beberapa tindakan yang diambil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum ini selepas keha­diran terlampau ramai kumpulan peminta sedekah ini berkumpul memenuhi ruang legar pintu masuk utama masjid sehingga mengakibatkan ketidakselesaan kepada para pengunjung dan pelancong asing,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Bukit Bintang di sini turut menemui beberapa pengemis wanita Rohingya yang terpaksa mengemis bersama anak kecil masing-masing meraih simpati orang ramai.

Jalan penyelesaian perlu dilaksana segera kerana isu pengemis bukan baharu malah kini menjalani ‘evolusi’ dengan warga asing termasuk dari negara maju turut memilih untuk menjadi pengemis sekali gus mencacatkan imej negara.

Jumlah pelarian Rohingya yang boleh diambil bekerja juga perlu ditambah sebaik projek perintis kendalian Kementerian Dalam Negeri mencatatkan kejayaan kelak.