Tiga lelaki itu yang berusia dalam lingkungan 20 tahun itu terperangkap dalam banjir pada pukul 6.00 pagi waktu tempatan ketika melalui lebuh raya Bruce di Gordonvale.

Walau bagaimanapun, kumpulan pengembara berkenaan tidak dapat keluar dari kawasan banjir kerana kenderaan ala-filem terkenal Scooby Doo dinaiki mereka dihampiri buaya yang datang dari arah yang tidak diketahui.

Daily Mail melaporkan, jurucakap agensi Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Queensland (QFES) memberitahu, mereka sebelum itu bermalam di tapak perkhemahan berhampiran sejak petang semalam.

Tambah jurucakap itu, pihak agensi menerima panggilan kecemasan pagi tadi daripada pengembara berkenaan yang turut menyebut “terdapat seekor buaya berhampiran kereta”.

Selepas menerima panggilan tersebut, kumpulan penyelamat termasuk anggota polis dan paramedik bergegas ke tempat kejadian dan melihat ketiga-tiga pengembara itu duduk di atas ‘campervan’ mereka.

Pegawai QFES yang tiba di sana, Guy Bulmer memaklumkan, terdapat papan tanda memaklumkan kawasan tempat mereka bermalam itu adalah tumpuan buaya.

Malah dekat bahagian masuk itu juga terdapat papan tanda melarang aktiviti perkhemahan dilakukan di kawasan berkenaan.

“Buaya sukar dikesan kehadirannya kerana ia kelihatan seperti kayu hanyut dan bersembunyi bila terdengar bunyi bising.

“Walau bagaimanapun, mereka terselamat dan tidak mengalami kecederaan meskipun semalaman berada di kawasan itu.

“Saya tidak dapat bayangkan kalau mereka tidak perasan kehadiran buaya itu dan terus berenang untuk menyelamatkan diri daripada hanyut,” katanya kepada Daily Mail.

Selepas ketibaan pasukan penyelamat, kumpulan pengembara itu diselamatkan apabila kenderaan mereka ditarik keluar dari kawasan banjir.

Tambah Bulmer, ketiga-tiga pengembara itu sepatutnya pulang negara asal hari ini mengikut tiket penerbangan mereka. - Daily Mail