Arahan penutupan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu memberi tamparan hebat kepada pemiliknya sehingga terpaksa akur untuk menghentikan operasi gara-gara tidak memenuhi peraturan kebersihan.

Persoalannya, sejauh mana masyarakat mengambil iktibar dan pengajaran daripada insiden itu.

Tinjauan Skuad Terjah di beberapa premis makanan sekitar ibu negara di sini mendapati kejadian itu langsung tidak menjejaskan kunjungan orang ramai ke restoran-restoran yang boleh diragui tentang tahap kebersihannya.

Berdasarkan pemerhatian, res­toran yang beroperasi 24 jam di ibu negara itu terus dikunjungi pelanggan untuk menjamu selera.

Tinjauan di sebuah restoran di Bangsar mendapati penyediaan makanan di restoran yang dikunjungi ramai masih tidak mematuhi amalan kebersihan se­perti menutup makan, memakai apron dan menjaga kebersihan tandas.

Bukan sahaja lantai premis yang kotor, dipenuhi tisu dan puntung rokok malah pekerja restoran juga berpenampilan kurang menyenangkan.

Sementara itu tinjauan di bahagian lorong belakang restoran mendapati timbunan sampah sarap menjadi sarang tikus dan serangga.

Pembuangan sisa makanan oleh pekerja ke dalam longkang juga memburukkan lagi kebersihan bahagian belakang premis berkenaan.

Rata-rata orang awam yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikap pengusaha restoran yang terus mengabaikan aspek kebersihan.

Mereka menyifatkan, tindakan pihak bertanggungjawab mengarahkan penutupan Raj’s Banana Leaf itu sebagai langkah yang wajar sebagai pengajaran kepada pengusaha premis makanan.

Bahkan mereka berpendapat, tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang dan semua pengusaha makanan di negara ini lebih bertanggungjawab dalam soal kebersihan.