Pengasas Telekung Projek, Azila Aziz berkata, karnival pengumpulan bantuan pasca gempa bumi, Carenival #kitaserumpun akan diadakan pada Ahad ini di WK Bungalow, No 30 Jalan Dato’ Abu Bakar 16/1, Seksyen 16 Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata, program yang bermula dari pukul 2 petang hingga 6 petang itu menempatkan gerai jualan yang mana semua hasil kutipan akan disalur kepada tabung berkenaan, majlis bacaan puisi oleh seniman tempatan dan perkongsian pengalaman oleh pendaki mangsa gempa bumi di Lombok.

“Karnival amal ini bertujuan mengumpul sebanyak mungkin sumbangan bagi membantu penduduk di Kampung Senaru, Lombok yang terlibat membantu pasukan pendaki Malaysia semasa gempa bumi pada 29 Julai lalu.

“Keadaan penduduk di situ menjadi semakin mendesak selepas dilanda gempa kedua yang menyebabkan penduduk terputus bekalan makanan, air, elektrik dan banyak kediaman musnah,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian gempa pada 5 Ogos lalu, gempa bumi bermagnitud 7 skala Richter menggegarkan bahagian utara pulau Lombok mengorbankan lebih 130 nyawa.

Azila berkata, setakat ini sumbangan yang berjaya dikumpul pihaknya berjumlah kira-kira RM30,000 dan hasil kutipan keseluruhan akan digunakan untuk membantu membina semula rumah, sekolah dan masjid yang runtuh.

Sumbangan peribadi, berkumpulan atau secara korporat boleh dibuat ke akaun CIMB (8600 56 3331) di atas nama Pertubuhan Kebajikan Telekung Projek. - UTUSAN ONLINE