POSTER Teater Tradisional Makyong Anak Raja Tangkai Hati. - UTUSAN ONLINE

JKKN dalam kenyataannya berkata, program tersebut akan berlangsung pada 28 dan 29 September ini bermula pukul 8.30 malam.

“Teater ini menampilkan Kumpulan Makyong Kijang Emas yang dibawakan khas dari Kelantan. Persembahan ini diarahkan seorang tokoh Makyong Kelantan yang sangat disegani iaitu Ruhani Mohd. Zin.

“Turut membuat penampilan ialah seorang aktivis Makyong yang cukup dikenali ketika ini iaitu Rosnan Rahman,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, Anak Raja Tangkai Hati mengisahkan pengembaraan seorang anak raja yang keluar berlayar mencari ilmu dan pengalaman.

“Sewaktu pengembaraan itu Anak Raja Tangkai Hati bertemu dengan Puteri Mayang Mengurai dan berjanji untuk mengahwininya. Namun atas sesuatu sebab, dia memungkiri janji dan berkahwin dengan Puteri Cempaka Mas,” katanya.

“Apakah tindakan Puteri Mayang Mengurai setelah mengetahui Anak Raja Tangkai Hati memungkiri janji. Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, mari sama-sama kita saksikan,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket pada harga RM50 untuk VIP dan RM20 (biasa) manakala warga emas, orang kurang upaya dan pelajar pula layak untuk menerima 50 peratus diskaun dengan menghubungi Hotline 03 2614 8200/8260/8261 atau 012-518 6452 (Ijan). - UTUSAN ONLINE