Timbalan Menterinya, Datuk Dr. M. Loga Bala berkata, inisiatif itu penting kerana menjadi titik perubahan bagi konsep keyakinan dan kepercayaan pengguna ketika membeli-belah.

Selain itu katanya, ia dapat membantu pelancong asing dan pelanggan tempatan untuk mengenal pasti kedai yang memberikan perkhidmatan berkualiti dan cemerlang.

“Kita perlu terus meningkatkan taraf kualiti perkhidmatan kerana ia menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi pe­ngalaman pelancong dan persepsi terhadap Kuala Lumpur.

“Saya harap lebih ba­nyak pusat beli-belah mewujudkan program akreditasi ini, sekali gus meningkatkan populariti ibu negara sebagai destinasi beli-belah menarik untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Persijilan Jaminan Kualiti Bagi Peniaga anjuran Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini.

Plaza Low Yat menjadi penganjur pertama dalam memperkenalkan program tersebut untuk terus mengukuhkan imejnya sebagai pusat beli-belah tersohor dan menjadi tumpuan pelancong luar dan tempatan.

Beliau berkata, antara kriteria dinilai adalah ketulenan produk atau perkhidmatan ditawarkan peniaga serta memiliki permit operasi atau lesen perniagaan sah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Low Yat, Low Gee Teong berkata, selain mendidik orang ramai mengenai kepentingan membeli produk elektronik tulen dan asli, program itu juga mampu memupuk etika perni­agaan dalam kalangan peniaga.