Pencemaran dikatakan berpunca daripada saliran tapak pembuangan sampah yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan itu mengalir ke dalam tasik. 

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Pinggiran Delima, Nordin Ahmad, 57, berkata, masalah yang berlaku sejak enam bulan lalu itu menyebabkan air tasik yang dahulunya jernih bertukar kehitaman dan berminyak serta mengeluarkan bau yang busuk.

“Kawasan itu dahulu adalah lokasi pembuangan sampah yang ditimbus dengan tanah tetapi malangnya di bawah timbunan itu terdapat mata air yang menyebabkan ia bertakung sehingga mengalir ke longkang dan kemudian memasuki tasik. 

“Bukti pencemaran ini bukan hanya dapat dilihat pada permukaan tasik bahkan jelas apabila banyak ikan ditemui mati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, pihak berwajib digesa menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana penduduk sudah tidak tahan dengan bau busuk. - UTUSAN ONLINE