Lokasi seperti pasar basah, gerai makanan dan tapak pasar malam merupakan antara tempat yang kerap menjadi mangsa akti­viti pembuangan sampah yang jika tidak diurus dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah.

Utusan Malaysia baru-baru ini meninjau kawasan berhampiran tapak gerai makanan atau foodcourt di Taman Sri Serdang, Se­langor yang menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan kawasan kaki lima jalan itu berubah menjadi seperti tapak pelupusan sampah yang mengundang pembiakan serangga dan tikus.

Selain timbunan sampah sa­rap yang mencacatkan pandangan, ke­adaan itu juga menyebabkan kawasan sekitar di­selubungi bau busuk.

Masalah menjadi semakin ru­­­mit ketika hari hujan, apabila sampah sarap diha­nyutkan ke dalam saliran pembentungan dan menyebabkan longkang tersumbat.

Walaupun kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kaedah pengurusan sampah yang sedia ada dilihat tidak lagi mampu menampung peningkatan jum­lah sampah yang dihasilkan setiap hari.

Keadaan itu terbukti apabila beberapa buah tong sampah yang disediakan dipenuhi sampah sehingga dilonggok di kaki lima jalan.

Sehubungan itu, orang ramai, pemilik premis perniagaan dan para peniaga di gerai makanan di Taman Sri Serdang mahu Majlis Perbandaran Su­bang Jaya (MPSJ) mencari mekanisme yang lebih berkesan dalam menguruskan masalah lambakan sampah di kawasan berkenaan.