LAPORAN akhbar Utusan Malaysia pada hari ini berhubung dakwaan penduduk di Taman Rasah, Seremban Negeri Sembilan yang mengalami masalah kesihatan akibat daripada sistem pembetungan. - UTUSAN ONLINE

IWK dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, langkah itu bagi memastikan tangki septik dapat berfungsi dengan baik dan memulihara alam sekitar.

Katanya, tangki septik individu yang tidak dikosongkan secara berkala boleh mengancam kesihatan awam.

“Air sisa kumbahan domestik daripada premis akan mengalir masuk ke dalam tangki septik individu untuk rawatan dan simpanan.

“Mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di bawah Seksyen 65 (1)(c) menyatakan pemilik tangki septik individu perlu mengosongkan, menyelenggara dan menjaga tangki septik tersebut,” katanya.

IWK menjawab laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai dakwaan seorang penduduk di Taman Rasah yang mengalami masalah kesihatan akibat daripada sistem pembetungan di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihaknya bersama wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melawat ke premis tersebut pada 20 Februari lalu dan mendapati premis berkenaan menggunakan tangki septik individu yang mana ia berada dalam keadaan baik.

“Mengikut rekod IWK, tarikh terakhir tangki septik tersebut dikosongkan adalah pada 30 Januari 2015. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pengosongan tangki septik, boleh menghubungi pejabat operasi IWK atau layari laman web www.iwk.com.my,” katanya. - UTUSAN ONLINE