Perpustakaan Kuala Lumpur bukanlah tempat yang asing bagi warga kota untuk mendapatkan maklumat tidak kira golongan pelajar atau yang berkerjaya. Yang pasti, gedung ilmu itu sentiasa dikunjungi penduduk setempat.

Namun, khabar mengatakan perpustakaan itu akan ditutup sepenuhnya pada 27 Jun ini serta dilanjutkan untuk tempoh dua tahun pasti mengecewakan pengunjung apatah lagi mereka yang telah mempunyai perancangan menggunakan kemudahan tersebut.

Penutupan yang dipaparkan melalui skrin besar perpustakaan itu adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf dan ubah suai di bahagian dalaman bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta keselesaan kepada ahli dan pengguna.

Bagaimanapun ketika mengunjungi perpustakaan itu, penulis mendapati infrastruktur dalaman bangunan itu seperti meja, kerusi, rak berada dalam keadaan yang baik serta sangat selesa untuk orang ramai malah berhawa dingin.

Timbul persoalan, apa lagi yang perlu dibaiki? Lebih baik pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencari insiatif untuk menambah jumlah buku atau bahan bacaan yang terkini.

Atau menumpukan perhatian kepada projek baik pulih struktur bangunan luar perpustakaan yang terbakar pada bulan Januari lalu.

Jika dihitung hari, hampir enam bulan kejadian itu berlaku namun sampai sekarang kesan kebakaran masih lagi kelihatan membuktikan tiada sebarang kerja baik pulih dilaksanakan.

Sampai bila kesan itu harus dipertontonkan kepada orang yang lalu lalang lebih-lebih lagi kemudahan itu terletak di tengah-tengah ibu kota dan pasti menarik perhatian ramai pihak terutamanya pelancong asing.

Menutup kesan kebakaran dengan hanya menggunakan Jalur Gemilang tidak mencukupi dan kerja-kerja baik pulih perlu disegerakan.