Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Najib Mohd. berkata, kawasan rekreasi baharu itu dilengkapi trek laluan berbasikal yang akan berhubung dengan Taman Tasik Titiwangsa.

Katanya, dilengkapi dengan plot tanaman sayuran dan buah-buahan berkonsepkan kebun bandar merupakan satu inisiatif bersama komuniti setempat dan mampu menjadi tarikan baharu bagi warga kota untuk beriadah.

“Saya mengalu-alukan orang ramai untuk melibatkan diri dalam projek tanaman kebun bandar ini kerana dengan usaha itu sekaligus ia dapat membantu mengindahkan dan membersihkan kawasan taman riadah ini.

“Usaha mengindahkannya kepada sebuah taman rekreasi sebelum ini berdepan isu pencemaran dan kini kerja penambahbaikan giat untuk memperbaikinya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pemuliharaan Alam Sekitar Dalam Lembangan Sungai Bunus, di sini hari ini.

Sebanyak 100 batang pokok ditanam sebagai simbolik pelancaran program itu yang turut melibatkan komuniti setempat bersama syarikat korporat yang merupakan salah satu intipati Local Agenda 21.

Yang turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Md Nasir Md Noh. - UTUSAN ONLINE