Pembangunan taman rekreasi di atas tapak berkeluasan 25.9 hektar sejak sedekad yang lalu itu ternyata keputusan tepat untuk manfaat jangka masa panjang penduduk sekelilingnya.

Lokasi yang dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, transit aliran ringan (LRT) dan laluan masuk dari pelbagai arah termasuk Lebuh Raya Sungai Besi yang baharu disiapkan menjadikan taman itu kini semakin dikunjungi ramai.

Dalam menerima peningkatan jumlah pengunjung, Taman Pudu Ulu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi tidak terlepas daripada mentaliti masyarakat yang masih tidak tahu menghargai kemudahan yang disediakan.

Saban tahun, taman yang dilengkapi trek jogging, ge­langgang, peralatan bersenam, kolam mandi kanak-kanak, la­luan refleksologi, khemah berkanopi dan tandas awam itu kian ‘uzur dan terancam’.

Salah satu daripada masalah utama adalah sikap pengotor pelawat terutama di beberapa buah wakaf berehat atau gazebo yang disediakan di sekeliling taman berkenaan.

Walaupun sudah dilengkapi tanda amaran kebersihan dan tong sampah, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan taman itu mendapati ia masih dicemari bekas makanan dan minuman yang ditinggalkan orang ramai.

Bukan mahu menuding jari tetapi sikap tidak bertanggungjawab seperti itu biasanya bukan amalan mereka yang benar-benar datang bersukan tetapi tabiat pelawat yang datang ber­istirehat bersama keluarga atau pasangan.

Tidak kira apa tujuannya, orang ramai harus memahami kepentingan sesebuah taman awam sebagai tempat riadah dan untuk melepaskan tekanan khususnya bagi masyarakat yang tinggal di kota.

Di negara-negara maju, lokasi berpotensi seperti Taman Pudu Ulu ini dianggap ‘permata di te­ngah bandar’ yang bukan sahaja dipertahan bahkan dipelihara seperti milik setiap warga kota.

Pengalaman penulis menghabiskan masa beberapa jam di situ baru-baru ini mendapati masih banyak aspek yang perlu diberi perhatian sama ada yang melibatkan pengunjung dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa yang menguruskan taman berkenaan.

Tinjauan di kolam awam pula mendapati ia masih ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan kolam mandi pertama yang dibina dalam kawasan taman awam di Kuala Lumpur itu.

Berdasarkan pemerhatian da­ripada beberapa kali kunju­ngan penulis sebelum ini, kolam yang terletak di tengah-tengah kawasan taman itu boleh dikatakan tarikan utama orang ramai untuk menikmati kemudahan kolam renang percuma.

Selain sebagai tarikan seisi keluarga, ia juga menjadi ‘punca’ kebanjiran pelawat di situ sehingga menimbulkan masalah kebersihan jika tidak dikawal dan diurus sebaiknya.

Begitu juga dengan keadaan air kolam yang sering berada dalam keadaan keruh dan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutama dalam ka­langan kanak-kanak.

Justeru, pihak berkuasa perlu mengambil langkah pengurusan yang lebih cekap dalam hal ini khususnya untuk mengawal jumlah pengunjung di kolam awam berkenaan pada satu-satu masa.

Selain itu, kempen dan program kesedaran untuk memupuk masyarakat supaya lebih menghargai taman awam perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh DBKL melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan atau persatuan setempat.