Pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan, pembukaan satu per satu jenama salun ‘hipster’ ini mendapat sambutan yang memberangsangkan di kawasan Lembah Klang.

Bagi pemilik bersama Tacob's Barbershop, Muhammad Nurhilmi Mohd. Sobri, 22, minat dan pengalamannya sedari usia muda mencuba-cuba bidang yang masih asing dalam kalangan anak muda Melayu ketika itu sebenarnya punyai potensi.

Katanya, susun atur kedai guntingnya juga memainkan peranan selain produk penjagaan rambut dan gaya guntingan turut memainkan peranan bagi menarik pelanggan terdiri daripada belia dan kanak-kanak.

“Kesempatan yang diberikan oleh Datuk Ramli Mohamed Noor (rakan kongsi perniagaan) untuk bergiat lebih serius dalam perniagaan membuka mata dan peluang bagi memiliki sendiri kedai gunting di kawasan komersial Semenyih.

“Kebetulan beliau juga merupakan pelanggan saya sewaktu bermula kecil di kawasan rumah dan peluang begini sememangnya berpotensi menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang masih baharu ini,” katanya kepada Utusan Kota.

Pembukaan rasmi Tacob's Barbershop yang dilakukan serentak dengan Rumah Terbuka Aidilfitri baru-baru ini diraikan meriah apabila menerima sambutan dan sokongan penduduk setempat bersama Pertubuhan Kebajikan Al-Kausar di Taman Pelangi Semenyih di sini.

Tacob's Barbershop dibuka setiap hari kecuali Isnin dan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam menawarkan harga serendah RM25 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak bawah usia enam tahun. - UTUSAN ONLINE