Pengurus Wilayah SWM Environment Sdn. Bhd., Dr. Al’Ashari Othman berkata, tong tersebut yang diberikan secara percuma adalah untuk memastikan perkhidmatan syarikat dapat dilakukan dengan lebih sistematik dan cekap.

Katanya, SWM telah mengedarkan sebanyak 130 buah tong di sebahagian kawasan terlibat dan bakinya perlu diambil di pejabat Unit Logistik SWM.

“Tong tersebut boleh dituntut di pejabat Unit Logistik SWM di Oakland Commercial Centre, Seremban 2 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang atau hari Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Selain itu, mereka perlu membawa dokumen seperti salinan kad pengenalan, bil utiliti seperti cukai pintu, elektrik atau air,” katanya di sini baru-baru ini.

Jelas Al’Ashari, penggunaan tong sampah beroda dapat mengelakkan haiwan liar menyelongkar sampah dan dapat mengurangkan risiko penyakit berbahaya kepada penduduk.

Tambahnya, penyeragaman tong sampah beroda adalah tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). - UTUSAN ONLINE