Beliau yang juga baru diiktiraf sebagai Ikon Sukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjelajah ke 30 negara sekali gus menawan puncak menara yang tertinggi di dunia.

Suwaibah mengakui debaran kian terasa namun secara peribadi, beliau sudah tidak sabar untuk beraksi lagi bagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Biar seluruh dunia tahu bahawa adanya wanita dari Malaysia secara solo mampu menyampaikan mesej keamanan ke serata tempat dengan cara yang tersendiri.

“Misi keamanan ini akan berlangsung selama setahun dan secara purata, saya akan menawan tiga ke empat puncak menara dalam tempoh sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu Suwaibah memberitahu, banyak program yang telah dilakukan untuk memastikan Siri Jelajah Misi Keamanan bersama Suwaibah itu berjalan lancar.

“Selain menjalani latihan intensif, saya turut melibatkan diri dalam beberapa program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti MBI Desaku di Kulim, Kedah untuk mendapatkan sokongan.

“Hasil program itu, tiga usahawan MBI seperti Andy Ho, Aziz Ahmad serta Law Ah Khiau tampil memberikan sumbangan berbentuk tunai dan mereka juga itu sedia membantu saya menguruskan kutipan dana di sebelah utara,” katanya.

Suwaibah amat berharap ada pihak sama ada syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun wakil korporat tampil menghulurkan sumbangan, seterusnya merealisasikan matlamatnya menaikkan nama Malaysia di mata dunia. - UTUSAN ONLINE