Beroperasi sejak 15 Februari lalu, perniagaan Sup Singgah yang diusahakan anak muda Nazirul Azhar, 23, ternyata mendapat sambutan memberangsangkan.

Nazirul atau mesra dipanggil Wan mengusahakan perniagaan beraneka jenis sup kepada pelanggan dan apa yang istimewa adalah ramuan rahsia setiap menu yang disediakan.

Pelanggannya pula terdiri daripada pelbagai bangsa malah pelancong dari negara jiran Singapura juga sering makan di kedainya itu kerana lokasi hentian tersebut yang terletak di antara ibu negara dan republik itu.

“Bagi saya, untuk menarik pelanggan, kita perlu sediakan makanan yang kita sendiri akan makan. Sekiranya kita hidangkan makanan itu atas tujuan mahu mengaut untung semata-mata pasti tidak kekal lama,” kata anak muda ini yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama isteri, Nadirah Abdul Manan, 25, dan dibantua dua pekerja.

Antara menu sup yang disediakan adalah kuetiau sup ayam dan daging; sup kambing; sup ekor; mi atau bihun bakso; sup tulang; bihun dan mi sup; sup bubur ayam serta soto nasi impit.

Istimewanya, harga juga amat berpatutan iaitu antara RM4 hingga 13 dan pelanggan juga boleh meminta nasi sebagai tambahan makanan untuk set sup kambing, sup ekor atau sup tulang.

Menurut Nazirul, kedudukan kedainya yang strategik iaitu di hentian sebelah memudahkan penguna lebuh raya singgah dan menikmati aneka jenis sup yang disediakannya.

“Saya kini dalam proses untuk memperbesarkan perniagaan di mana tidak lagi menggunakan lori kecil sebaliknya menggunakan sebuah kabin di lokasi yang sama dan dijangkakan premis baharu ini akan mula beroperasi hujung bulan ini,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 4 pagi keesokan hari.

Sementara itu, seorang pemandu bas ekspres, Karim Burabil, 41, berkata, dia akan singgah di kedai sup Nazirul setiap kali melalui kawasan hentian tersebut.

Menurutnya, keistimewaan sup di kedai itu adalah memang menyelerakan, dan rasanya boleh dikategorikan sebagai `power’.

Shakir Samad, 23, pula merupakan peniaga di hentian sebelah bertentangan namun sanggup datang ke kedai Nazirul setiap hari bagi menikmati pelbagai aneka sup.

“Apa yang istimewa di kedai ini adalah sup ekor di mana ramuannya sungguh menyelerakan, kuah yang pekat dan isi dalamnya banyak tetapi pada harga yang standard iaitu tidak terlalu mahal,” katanya. - UTUSAN ONLINE