Kempen yang bermula pada 27 April lalu menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada orang ramai yang berjaya menyudahkan empat cabaran khas iaitu Target Kick, Speed ​​Kick, Reaction Test dan Skill Test.

Antara hadiah yang ditawarkan adalah cenderahati ekslusif pemain bola sepak terkenal dunia seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Neymar JR, Eden Ha­zard, Philippe Coutinho dan Luis Suarez.

Pemenang hadiah utama ditawarkan pakej ke Moscow, Rusia untuk dua orang bagi menonton perlawanan akhir Piala Dunia yang bernilai RM90,000 termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Pengurus Besar Sunway Put­ra Mall, Phang Sau Lian berkata, pihaknya mengharapkan anak-anak muda berseronok apabila melibatkan diri dalam sukan dan bukan hanya sekadar hobi.

“Kempen ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada mereka, bahkan dapat membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran selain dapat berjumpa dengan kawan baharu,” katanya.

Kempen itu turut dijayakan beberapa legenda bola sepak negara seperti Datuk Santokh Singh, Re­duan Abdullah dan Zainal Abidin Hassan.