Malah ia menjadi kenangan manis kepada 60 peserta perkhemahan yang diadakan selama dua hari tiga malam bermula 16 Di­sember lalu.

Aktiviti memasang hammock, merentas denai ke air terjun dan santuari ikan kelah serta sesi perbincangan memberi pelbagai pengalaman dan ilmu penge­tahuan yang tidak diperolehi di tempat lain.

Menurut Pengasas Hammockers Malaysia, Muhammad Laili Basir, perkhemahan kali ini bertujuan membudayakan penggunaan hammock ketika melakukan aktiviti santai dimana sahaja asalkan tempatnya sesuai.

Beliau berkata, penggunaan hammock telah lama menambat hati penduduk Eropah malah Indonesia namun kesedarannya masih rendah di negara ini.

“Kebiasaannya, mereka lebih gemar menggunakan khemah ketika menjalankan aktiviti luar sedangkan hammock lebih mesra alam kerana impaknya kepada alam sekitar sangat minimum.

“Ini merupakan projek kali kelapan dan insya-Allah akan diteruskan. Saya berharap setiap rakyat Malaysia mempunyai satu hammock,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Muhammad Laili, penganjuran program seperti ini juga dapat mempromosikan tempat-tempat menarik di sekitar Selangor untuk dikunjungi orang ramai.

Katanya, ia sekali gus me­ningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini tanpa perlu berbelanja besar untuk ke luar negara.

“Selangor kaya dengan keindahan alam sekitar dengan 30 peratus kawasannya adalah hutan dan lebih 20 air terjun yang sangat cantik untuk aktiviti riadah.

“Di samping itu, kita seharus­nya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dapat membantu mereka membanteras pembalakan dan penerokaan haram,” ujaranya.