IR. ZOHARI SULAIMAN

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, penggunaan kad Touch n Go bertujuan melancarkan perjalanan keluar masuk di stesen LRT Bukit Jalil.

Jelasnya, perkhidmatan pengangkutan awam itu bukan sahaja memudahkan perjalanan, malah pengguna boleh menikmati diskaun 50 peratus sehingga 31 Ogos ini.

“Para pengguna perlu memastikan nilai baki kad mencukupi bagi mengelakkan kesesakan di kaunter dan laluan masuk hingga menyebabkan penumpang lain terpaksa menunggu lama.

“Sekiranya menggunakan token, orang ramai dinasihatkan membeli dua token berasingan untuk perjalanan pergi dan balik supaya tidak perlu beratur di mesin pembelian tiket ketika waktu pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 45,368 penumpang menggunakan kad Touch n Go dan token melalui pintu automatik LRT ke Kompleks Sukan Bukit Jalil bagi menyaksikan upacara pembukaan rasmi temasya Sukan SEA ke-29 yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada Sabtu lalu.

Jumlah itu tidak termasuk seramai 7,198 para sukarelawan dan petugas yang dibenarkan menggunakan perkhidmatan Rapid KL dengan percuma sebagai sokongan kepada temasya sukan berkenaan, selain secara keseluruhan terdapat 52,566 penumpang berada di Stesen LRT Bukit Jalil pada hari tersebut.

Rapid KL adalah penyedia pengangkutan rasmi KL2017 yang menyediakan perkhidmatan rel LRT, MRT dan monorel serta bas ganti-ganti. - UTUSAN ONLINE