Malah menurut penduduk tempatan, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sejak jambatan itu dibina apabila sebuah kenderaan terlanggar penghadangnya sehingga patah.

Lebih malang lagi, sebuah kereta seperti yang dipaparkan menerusi video di media sosial terjatuh terus sementara lapan lagi tergelincir akibat penghadang jalan yang patah.

Jambatan di Desa Pandan itu merupakan jalan pintas yang digunakan oleh pemandu dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang menghubungkan dengan Jalan Kampung Pandan untuk ke Keramat, Jalan Ampang dan pusat bandaraya.

Malah, laluan itu kerap diguna oleh penduduk di sekitar kawasan itu untuk pergi ke sebuah pasar raya besar di Ampang.

Dalam tinjauan wartawan Utusan Online petang tadi, jambatan tersebut kini ditutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKPL) untuk kerja-kerja pembaikan.

Menurut seorang penduduk tempatan yang berniaga berhampiran jambatan itu yang mahu dikenali sebagai Tok Baba, 73, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sejak beliau menetap di sana lebih 30 tahun yang lalu.

“Ini kali pertama berlaku dan dalam seminggu sembilan kereta tersangkut termasuk sebuah yang jatuh pada rabu lalu. Jadi saya harap DBKL naiktaraf laluan berkenaan dan dibuka kepada umum,” katanya.

Seorang lagi warga Bangladesh, Muhammad Rois, 46, yang bekerja di kedai menjual bunga dan pasu terletak bersebelahan itu juga terkejut dengan kejadian tersebut.

“Saya dengar bunyi macam meletup dekat luar, tidak sangka sebenarnya ada kereta jatuh ke dalam parit itu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE