Jalan tersebut merupakan laluan utama hampir kesemua lori pembersihan awam untuk ke operasi penghantaran sisa di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Kepong.

Tinjauan Utusan Malaysia menyusuri MMR2 daripada Bulatan Batu Caves hingga ke Jalan Kuala Selangor mendapati pencemaran jelas kelihatan sepanjang lebih tujuh kilometer sama ada di tengah jalan raya atau bahu jalan.

Keadaan agak baik pada se­belah pagi, kerana sebahagian kerja-kerja kuipan sampah dilakukan pada waktu dinihari sebelum laluan itu menjadi sibuk pada tengah hari dan petang.

Tetapi jika diamati, kelihatan longgokan sisa sampah di sepanjang bahu jalan laluan itu namun dalam beberapa jam situasi bertambah buruk.

Menjelang tengah hari hingga lewat petang, lori-lori sampah seolah ‘berkonvoi’ seakan jentera berhias dalam acara perarakan, cuma bukan bunga warna-warni yang ditabur tetapi percikan air sampah dan layangan plastik atau kertas dari lori yang lebih muatan.

Sikap tidak bertanggungjawab enggan memasang kanvas menjadi faktor utama kejadian ‘pesta sampah terbang’ sepanjang jalan itu dan lori-lori terbabit turut melintasi Taman Layang-Layang Metropolitan Kepong di sini.

Bau busuk di situ mungkin saja sudah biasa dihidu penduduk sekitar malah bukan kecelakaan jalan raya mungkin berlaku bila-bila masa terutama bagi penunggang motosikal yang mahu mengelak atau terlanggar sampah.

Penguatkuasaan yang lemah serta sikap culas pihak operator memantau operasi di lapangan memungkinkan jadi penyebab utama kejadian banjir kilat teruk di ibu negara baru-baru ini akibat saliran longkang tersumbat dek lambakan ‘sampah terbang‘ yang berakhir mendarat ke dalamnya.