Suspek yang dipercayai warga asing dan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri itu ditahan oleh empat anggota Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan (DBKL), Azman Mahmood berkata, dalam kejadian pada pukul 11.44 pagi itu, suspek dipercayai terjatuh dari motosikal yang ditunggang ketika cuba melarikan diri akibat berlanggar dengan seorang penunggang motosikal.

“Suspek yang terjatuh di laluan yang bertentangan kemudian cuba diselamatkan oleh orang ramai sebelum dikenal pasti sebagai peragut dalam kejadian itu.

“Secara kebetulan Skuad Penyelamat DBKL melalui kawasan kejadian dan berjaya memberkas lelaki tersebut,’’ katanya kepada Utusan Online, hari ini.

Azman berkata, suspek yang diberkas kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan empat anggota Skuad Penyelamat DBKL atas tindakan pantas dalam kejadian itu,’’ katanya.

Anggota skuad terdiri daripada Mohd. Shahrizal Abu, Shahrul Azlan Sulaiman, Muhammad Hafiz Ismail dan Ahmad Fikhrie Che Baharom. UTUSAN ONLINE