Tiga atlet berkenaan ialah A. Somanroy yang beraksi dalam acara kumite 84 kilogram (kg), S. Daneshkumar (-74kg) dan atlet wanita P. Madhuri (50kg).

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Tan Sri Mohd. Ali Rustam tidak mahu pasukan panik sebaliknya harus bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.


“Kami sentiasa mencari atlet baharu jadi ia bukan masalah besar sekiranya kami terpaksa melupakan khidmat tiga atlet berkenaan.

“Kejohanan ini juga dijadikan pentas buat kami mencungkil bakat baharu, dan harapan saya semoga atlet-atlet baharu ini dapat menghadiahkan pingat emas.

“Berhubung tiga atlet utama itu kami masih menunggu keputusan daripada doktor sama ada mereka boleh beraksi atau tidak selepas mengalami demam sejurus berakhir Kejohanan SEAKF di Bangkok baru-baru ini,” katanya.

Kejuaraan Karate Remaja Asia edisi ke-18 itu akan menyaksikan sebanyak 544 atlet dari 33 negara bertarung dengan Jepun muncul sebagai pilihan utama.

Malaysia kali ini membariskan seramai 44 atlet yang terbahagi kepada 34 atlet kumite dengan bakinya bagi kategori kata. - UTUSAN ONLINE