Naib Presiden Persatuan Alumni sekolah berkenaan, Datuk Azaddin Abdul Aziz berkata, kemudahan itu merupakan inisiatif pihaknya menerusi program Pembangunan Kemudahan-Kemudahan Sukan Sekolah (SFDP) fasa 1 yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan itu bertujuan meningkatkan standard pencapaian sukan sekolah sekali gus memastikan SJI mampu meraih kejayaan cemerlang menerusi aktiviti sukan dan ko-kurikulum.

“Program SFDP ini bermula sejak akhir bulan Jun lalu dan turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) merangkumi dua fasa pelaksanaan iaitu fasa pertama membabitkan penambahbaikan dan pengubahsuaian gelanggang badminton, bola tampar, bola keranjang, futsal dan sepak takraw.

“Fasa kedua pula meliputi kerja-kerja yang melibatkan padang sekolah yang bakal menggunakan teknologi rumput tiruan. Namun begitu, apa yang lebih penting adalah pelajar sekolah berpeluang menikmati kemudahan itu secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azaddin memberitahu, SJAA sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa penaja dalam usaha menubuhkan pasukan sekolah yang lebih mantap untuk acara-acara sukan tertentu.

Sementara itu, Pengetua SJI, Manmohan Singh Kartar Singh menyifatkan, kemudahan yang disediakan itu merupakan satu nilai tambah kepada sekolah untuk terus mengukir kecemerlangan dalam semua bidang.

“Pihak sekolah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seorang bekas pelajar sekolah kerana sudi menaja dan membantu untuk meningkatkan kemudahan kepada pelajar.

“Program SFDP itu juga tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa bantuan serta kerjasama yang diberikan oleh Persatuan Ibu Bapa Guru SJI, SJAA dan LPS,” katanya.

Kemudahan sukan tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh enam buah sekolah di Bukit Nanas iaitu SK St. John’s 1 dan 2, SK Convent Bukit Nanas 1 dan 2, SMK Convent Bukit Nanas serta St. John’s International School.- UTUSAN ONLINE