Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Tua, Rabiah Hussien berkata, kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Ulu Yam minggu lalu masih lagi beri kesan hingga menjejaskan aktiviti harian penduduk serta mengancam tahap kesihatan bayi dan kanak-kanak.

Katanya, lokasi kebakaran yang masih belum dapat dikawal masuk hari keenam itu dilitupi kepulan asap tebal dan debu yang dapat dilihat dari jauh serta semakin merebak sehingga bau asapnya dapat dihidu penduduk di Taman Selayang, Batu Caves di sini.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) perlu bertindak lebih tegas serta tanpa kompromi dengan mana-mana pihak terlibat sama ada berpermit atau haram ekoran kemusnahan alam hingga menyebabkan malapetaka kepada penduduk berhampiran.

“Tapak tersebut disedari penduduk beroperasi secara licik hampir setahun dan menjadi akses ratusan buah lori pelbagai had muatan keluar masuk sewaktu hari gelap antara pukul 7 malam hingga 5 pagi,” katanya dalam tinjauan bersama wakil penduduk sekitar ke lokasi itu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE