Penduduk terbabit mendakwa, sistem saliran di kawasan berkenaan tidak diurus dengan baik hingga menyebabkan air bertakung sepanjang masa dan masalah tersebut menjadi lebih serius setiap kali hujan lebat.

Ekoran daripada masalah tersebut, penduduk mendakwa terpaksa menghidu bau busuk saban hari disebabkan air bertakung selain bimbang kawasan itu menjadi habitat binatang berbahaya dan berbisa seperti ular dan biawak.

Penduduk, Teo Huck, 67, berkata, aduan berhubung masalah itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

“Apa yang dikesalkan sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil.

“Janganlah bila sesuatu berlaku baru tindakan mahu diambil,” katanya.

Seorang penduduk, S. Ana­malui, 56, berkata, pihak pembersihan dari syarikat konsesi, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) ada menjalankan kerja-kerja pembersihan parit berkenaan, namun tidak membantu menyelesaikan masalah itu.

“Kerja-kerja tidak dilakukan secara berkala dan ini menyebabkan masalah tersebut berterusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Pendu­duk Kawasan Temiang, Ti­tan Ho Kok Yew berharap masalah aliran parit di kawasan itu dapat diselesaikan dengan se­gera bagi mengelak sebarang masalah yang lebih serius berlaku.

“Masalah utama yang dihadapi penduduk di sini ialah ketiadaan parit besar untuk aliran keluar air dan itu telah menyebabkan saliran kecil tersumbat dan air mula bertakung,” katanya.