Siew Ki yang tiba kira-kira 9.30 pagi bersama beberapa penyokongnya sempat bersalaman dengan calon MCA, Tan Chee Teong dengan pengundi lain.

Ketika ditemui, Siew Ki berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran perjalanan pengundian hari ini.

“Saya melihat dalam peti undi ada banyak kertas undi walaupun masih pagi. Ini berbeza dengan apa yang saya jangkakan.

“Saya turut berharap agar pengundi akan keluar pagi ini kerana khuatir hujan pada waktu petang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

PRK DUN Balakong menyaksikan Chee Teong menentang Siew Ki.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandang, Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan di KM11.7 Lebuh Raya Grand Saga pada 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) Eddie menang untuk penggal kedua selepas menewaskan Lim Chin Wah dari Barisan Nasional (BN) dan Mohamad Ibrahim Ghazali (Pas) dengan majoriti 35,538 undi. - UTUSAN ONLINE