Adat yang berasal dari Minangkabau di Sumatera, Indonesia itu diasaskan oleh seorang putera raja di Padang, Pagar Ruyung yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang.

Seiring peredaran zaman, tidak ramai masyarakat terutamanya dari generasi milenium kini mengetahui apatah lagi mengamalkan adat yang menjadi simbolik kepada negeri ini.

Adat bukan sekadar cara bersanding, menyantap hidangan, pertabalan Luak dan sebagainya tetapi ia merupakan peraturan hidup yang perlu dipertahankan sehingga hari ini.

Justeru sebagai usaha memperkasakan adat yang semakin kurang difahami generasi muda ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Senaling, dekat sini mengambil inisiatif me­ng­anjurkan Program Olek Adat Perpatih, baru-baru ini.

Guru Besar SK Senaling, Ahyaulumuddin Abdul Hamid berkata, program kali pertama seumpamanya itu diadakan selama dua hari bermula 4 Julai lalu di pekarangan sekolah tersebut.

“Program ini merupakan aspirasi daripada Pengarah Pendidikan Negeri dan SK Sena­ling mengambil inisiatif untuk melaksanakannya bersempena Karnival Pra Sekolah peringkat daerah.

“Aktiviti yang bertujuan untuk membugarkan semula Adat Perpatih di sekolah ini turut mendapat kerjasama daripada Perapatan Luak Ulu Muar, Muzium Negeri serta Jabatan Pendidikan negeri dan daerah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ahyaulumuddin berkata, para pelajar didedahkan dengan cara pemakaian busana adat, alat-alat kebesaran selain berpeluang menyaksikan simulasi adat meminang dan teromba iaitu penyampaian kisah sejarah yang diceritakan dalam bentuk perbilangan.

Secara tidak langsung katanya, pendedahan tersebut dapat meningkatkan kefahaman generasi muda mengenai adat yang diamalkan di negeri ini sejak sekian lama.

“Pelajar dapat melihat cara pe­makaian samping, mengikat tanjak serta aksesori lain berkaitan adat perpatih.

“Terdapat juga persembahan sketsa adat berkodin atau ‘masuk suku’ serta demonstrasi permainan dan masakan tradisional di gerai-gerai pameran luak,” katanya.

Ahyaulumuddin memberi­ta­hu, sebanyak 47 buah sekolah rendah sekitar daerah ini me­nyertai program yang bermula 8 pagi hingga 1 petang melibatkan pelajar Tahun 1 hingga 6 selain 16 sekolah menengah berhampiran.

Katanya, program tersebut akan dijadikan acara tahunan sekolah dan bercadang mahu memperluaskan skop aktiviti menerusi pertambahan sukan rakyat dengan kerjasama kampung sekitar.