Pengurus Besar Hotel Dorsett Putrajaya, Alfred Paulsen berkata, siri jelajah yang diketuai tukang masak yang dibawa khas dari Jepun itu menawarkan lima set hidangan popular yang berharga di antara RM55 hingga RM128.

"Lima set hidangan popular yang ditawarkan itu ialah Tempura (RM55), Sushi (RM78); Daging Sukiyaki (RM88); Shokado Bento (RM108) dan Sashimi (RM128). Kesemua hidangan disediakan oleh tukang masak dari Jepun, Shigeaki Ota.

"Semua masakan adalah halal dan tidak menggunakan sebarang perasa tambahan, bahan-bahan mentah juga dibawa khas dari Jepun untuk mengekalkan keaslian hidangan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Paulsen, siri jelajah itu telah bermula di Hotel Grand Dorsett Subang pada 4 hingga 16 September dan seterusnya di Hotel Dorsett Putrajaya pada 14 hingga 23 September, Hotel Dorsett Kuala Lumpur (22 hingga 30 September) dan Hotel Grand Dorsett Labuan (28 September hingga 8 Oktober).

"Orang ramai dijemput untuk merasai sendiri keenakan makanan dari Jepun ini, tukang masak yang dibawa khas itu berpengalaman luas dalam bidang masakan selama 25 tahun dan pernah berkhidmat di Istana Jepun.

"Pemegang kad kredit CIMB juga boleh menikmati diskaun sebanyak 25 peratus apabila membelanjakan RM300 dalam satu resit. Maklumat lanjut mengenai hidangan ini boleh didapati di www.dorsett.com," katanya.