Program dengan kerjasama Institut Onn Ja’afar (IOJ) dan Yayasan Chow Kit (YCK) itu bertujuan membantu meringankan beban golongan tersebut selain memberi peluang kepada mahasiswa untuk melakukan aktiviti amal sempena Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata, program itu juga sebagai usaha untuk menerapkan sifat prihatin dan kasih sayang serta menyuburkan rasa tanggungjawab dalam membantu golongan tidak berkemampuan.

“Ini adalah tahun kedua IOJ menganjurkan program Jom Sahur dan kali ini berbeza apabila menampilkan sukarelawan daripada penuntut universiti tersebut dengan tujuan menggalakkan aktiviti kesukarelawan dalam diri mereka.

“Selain itu, IOJ juga berhasrat untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama gelandangan di Pusat Transit Gelandangan,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Charles berkata, aktiviti amal itu menjadi lebih bermakna apabila mendapat sokongan daripada Pullman Putrajaya Lakeside yang bertindak selaku penaja utama dalam menyediakan juadah sahur tersebut.

“Bukan itu sahaja, mereka turut menyumbang sebanyak 50 buah selimut kepada gelandangan. Saya fikir ini usaha yang sangat murni untuk mengurangkan rasa derita dan kesusahan yang ditanggung golongan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pullman Putrajaya Lakeside, Roberts Ejubs berkata, pihaknya menzahirkan rasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan IOJ pada musim Ramadan tahun ini.

“Ia adalah hasrat kami untuk mencipta masa depan yang lebih baik melalui aktiviti dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini.

“Berada di dalam industri hospitaliti menjadi satu keistimewaan kepada kami untuk menjalankan program kemasyarakatan dalam usaha mewujudkan dunia yang lebih baik dan menjadikan kehidupan orang lain lebih sempurna,” katanya.

Program kebajikan yang bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi itu berlangsung serentak di dua lokasi iaitu KL Krash Pad, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Pusat Transit Gelandangan berhampiran Bulatan Pahang. - UTUSAN ONLINE