Memang benar, kehadiran ramai pengunjung ke negeri ini mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat selain meningkatkan pendapatan negeri. Bagaimanapun, kesesakan jalan raya adalah masalah utama yang perlu ditangani atau setidak-tidaknya dikurangkan.

Orang ramai memahami usa­ha kerajaan yang sedang giat melaksanakan beberapa projek penyuraian trafik di negeri ini bagi mengatasi masalah tersebut namun sejauh mana keberkesanannya apabila ia siap kelak terus menimbulkan persoalan.

Di kawasan Ayer Keroh sahaja, kesesakan teruk terus berlaku di persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari kesemua arah sama ada masuk ke Melaka atau keluar ke arah Tol Ayer Keroh.

Projek pembinaan jejambat di persimpangan itu didakwa menjadikan punca utama kesesakan hingga menjadikan la­luan semakin sempit selain jalan rosak akibat digunakan kende­raan-kenderaan besar seperti lori dan sebagainya.

Terdapat satu laluan alternatif dibina dari arah Zoo Me­laka ke persimpangan MITC itu untuk melencongkan pengguna ke arah Bukit Katil namun lokasi laluan itu sangat tidak strategik kerana terlalu hampir dengan persimpangan utama tersebut.

Untuk keluar ke arah Tol Ayer Keroh pula, terdapat dua laluan alternatif yang boleh digunakan iaitu melalui Taman Belia Antarabangsa dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Ke­roh (SPA) dari Batu Berendam.

Bagi penduduk tempatan, laluan alternatif ini mungkin menjadi pilihan mereka untuk masuk atau keluar dari pusat bandar raya namun bagi pe­ngunjung luar, mereka terpaksa menggunakan laluan biasa.

Pihak berwajib sewajarnya memikirkan laluan-laluan alternatif baharu selain mencari jalan untuk memastikan kesesakan lalu lintas tidak berterusan pada masa akan datang.