Terletak di Pusat Komersial [email protected] di Presint 8 di sini, Serabei Cafe mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menawarkan juadah tradisional dari Pantai Timur seperti lompat tikam, nasi kerabu dan nasi dagang.

Pemilik Serabei Cafe, Muhammad Farhat Haniff berkata, lebih 70 menu disediakan kepada pelanggan di kafe yang telah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, makanan yang mendapat permintaan paling banyak ialah makanan tradisional seperti kuih serabai dan nasi kerabu.

"Nama Serabei Cafe diambil sempena nama kuih tradisional serabai yang popular di Kelantan. Idea penubuhan kafe ini tercetus apabila saya bersama emak, Datin Seri Zalazar Abd. Rahman berpendapat sukar untuk warga kota mencari lokasi untuk menikmati makanan tradisional.

"Dulu emak tinggal di luar negara kerana mengikut ayah bertugas. Bila balik ke Malaysia, sukar untuk mencari kedai yang menyediakan makanan tradisional. Jadi, kami fikir tidak salah untuk mencuba perniagaan ini dan Alhamdulillah ianya berjaya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Farhat, Serabei Cafe dibuka setiap hari dari pukul 10.30 pagi hingga 11 malam mampu memuatkan kira-kira 70 pelanggan dalam satu-satu masa, mereka turut menawarkan masakan panas ala Thai pada harga berpatutan.

Mengulas mengenai harga, Muhammad Farhat berkata, kuih serabai dijual RM5 untuk satu set dan harga yang sama juga dikenakan untuk lompat tikam, nasi kerabu ayam percik RM10.90 (kambing bakar RM15.90) dan nasi dagang RM9.50.

"Keistimewaan Serabei Cafe ialah selain bahan-bahan masakan dibawa terus dari Kelantan dan Terengganu, tukang masak juga dibawa khas dari Pantai Timur, bagi kami kualiti barangan amat penting bagi memastikan rasa juadah tradisional itu tidak 'lari' daripada tempat asalnya.

"Kami masak kuah serabai guna gula Melaka yang beli dari Kelantan dan Terengganu kerana rasa gulanya yang asli, jadi untuk kekalkan rasa tradisional itu kami bawa bahan itu dari tempat sana," katanya.

Muhammad Farhat yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan berkata, ejaan Serabei Cafe sedikit berbeza dengan ejaan kuih serabai kerana mahu mengekalkan sebutan dalam dialek Kelantan iaitu 'serabei' bagi menampakkan keaslian makanan yang popular di Kelantan itu.

Bercerita mengenai keunikan kuih serabai, Muhammad Farhat berkata, serabai sejenis kuih tradisional yang popular di Malaysia dan diperbuat daripada tepung beras, dimasak nipis (macam lempeng) dan dimakan bersama kuah sirap gula melaka berserta santan bagi memberikan rasa lemak manis.

Dalam pada itu katanya, Serabei Cafe yang memiliki 12 orang pekerja kini telah menawarkan pembelian secara penghantaran untuk pelanggan sekitar Putrajaya dan Cyberjaya, mereka yang berminat untuk menikmati hidangan yang ditawarkan boleh menghubungi 019-6902293 dan 03-88616747 untuk membuat tempahan. - UTUSAN ONLINE