Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Saiful Mohd. Hashim, 32, yang memandu kereta Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dari arah Batang Kali menghala Genting Highland itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Toyota Almera.

“Mohd. Saiful maut kerana mengalami hentakan di dada dan penumpangnya, Aza Alfa Aludin, 37, berasal dari Pulau Pinang, patah kaki.

“Turut parah adalah pemandu Toyota Almera, Ng Guan Soon, 27, bersama dua penumpang wanita, Prakai Sae-See, 49 dan Prakai Soe-see, 55,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bak Phai, kesemua mangsa yang parah itu dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.


Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 3.08 pagi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 3.40 pagi dan memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital. Bomba kemudian membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan itu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE