Sampah sarap boleh dilihat di merata-rata tempat. Botol minuman keras ditinggalkan begitu saja malah banyak serpihan botol ditemukan di kaki lima dan longkang.

Pokok-pokok bunga yang sepatutnya menjadi landskap menarik turut dicemari dengan sampah. Lebih menyakitkan mata apabila pokok tersebut dijadikan tempat menjemur pakaian termasuk seluar dalam oleh warga asing yang tinggal di rumah kedai berdekatan.

Tinjauan yang dilakukan baru-baru ini juga mendapati beberapa tilam buruk dibuang di tepi jalan, manakala besi penutup longkang juga hilang dipercayai dicuri.

Menurut seorang pesara, Rahman Harun, 61, masalah tersebut berlaku disebabkan kebanyakan warga asing yang tinggal di tingkat atas rumah kedai di kawasan itu tidak menjaga kebersihan.

Menurutnya, mereka yang datang dari Nepal, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh gemar membuang sampah sesuka hati sehingga menyebabkan timbunan sampah di kaki lima.

“Mereka juga membakar sampah dan memburukkan lagi suasana di sini. Pokok-pokok bunga pula dijadikan tempat menyidai pakaian dan tilam. Sebuah taman dan kawasan lapang pula dijadikan tempat melepak dan minum arak.

“Mereka tak peduli dengan keceriaan tempat ini. Banyak rumah kedai di tingkat bawah kosong dan tidak disewa. Kalau beginilah keadaannya, tidak siapa mahu menyewa kedai-kedai tersebut,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan beberapa blok rumah kedai di lokasi tersebut dihuni warga asing, kerja-kerja pembersihan seolah-olah tidak dilakukan dengan sempurna oleh Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

“Walaupun ada pekerja pembersihan, cuma sekali atau dua kali seminggu mereka datang. Mungkin pihak berkenaan sendiri sudah putus harapan untuk membersihkan kawasan ini kerana ramai warga asing,” katanya.

Rahman berkata, beliau bimbang sekiranya perkara itu berlarutan, lama-kelamaan kawasan tersebut semakin tidak terurus dan warga asing seolah-olah bebas berbuat sesuka hati.