Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari berkata, kita mahu negeri ini turut kaya dengan kebudayaan seperti mana Johor terkenal dengan kuda kepangnya dan Kelantan gah dengan seni dikir baratnya.


“Selepas diamati, untuk menjadi sebuah negeri maju, ia tidak cukup dengan kekayaan dari segi ekonomi sahaja malah kemajuan itu perlu diisi dengan nilai kebudayaan. 


“Aspek tradisi lama perlu dipelbagaikan serta sentiasa dipromosikan oleh masyarakat di Selangor demi mewujudkan asas kebudayaan yang kukuh dan dikenali di pelusuk negara,” katanya. 


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Pemimpin Bersama Rakyat Mengenali Kebudayaan Masyarakat Bawean Selangor di Taman Gombak dekat sini hari ini. 


Yang turut hadir, Presiden Persatuan Bawean Malaysia (PBM), Apili Taib dan Naib Presidennya, Prof. Dr. Yahya Mat Som. 


Dalam program berkenaan, orang ramai berpeluang melihat persembahan seni kebudayaan masyarakat Bawean Selangor termasuklah selawat qasidah, alunan paluan kompang (Kerchengan) serta pukulan rebana (Hadrah)-UTUSAN ONLINE.