MIDF dalam nota penyelidikannya berkata, Rancangan Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) yang dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2019 akan meningkatkan kecekapan industri, mengurangkan campur tangan kerajaan, mengguna pakai tarif yang lebih mencerminkan kos dan kos tarif mengikut masa, menggunakan teknologi baharu dan memperkasa pengguna.

Katanya, sektor itu dalam masa terdekat akan lebih cenderung kepada kelulusan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) selain berdepan kekurangan loji bahan api fosil pada masa depan.

“Kerajaan berpandangan bahawa negara telah mencapai kapasiti rizab yang tinggi iaitu 30 peratus lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain.

“Ini meningkatkan kos sektor kerana pengeluar kapasiti tenaga bebas yang tidak digunakan masih perlu dibayar seterusnya dilepaskan kepada pengguna melalui tarif elektrik,” katanya.

Tambah MIDF, kapasiti rizab yang banyak akan memberi masa yang terbaik kepada industri untuk membangunkan kapasiti RE dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun akan datang tanpa memerlukan lebih banyak sistem loji baharu dalam jangka waktu terdekat.

Sementara itu, MIDF berkata, projek Loji Janakuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3) kapasiti 500 megawatt (mW) dijangka diluluskan dalam skala besar dan disasarkan mencapai tarikh operasi komersial pada 2021.

“Dengan struktur untuk LSS3 telah ditambah baik melibatkan beberapa perkara iaitu tidak ada pakej pelbagai tempoh kapasiti yang lebih spesifik seperti dalam kitaran terdahulu, peserta bebas membida untuk sebarang kapasiti antara 1 mW-100 mW dan mata bonus akan diberikan bagi lokasi di atas bumbung.

“Penerima LSS yang berpotensi boleh menjadi tumpuan dalam dua sukuan akan datang,” katanya.

HABIS...