Menurut SSM, Seksyen 241 AS 2016 adalah fasa akhir peruntukan di bawah AS 2016 yang telah dikuatkuasakan secara berperingkat pada 31 Januari 2017.

Katanya, dengan penguatkuasaan seksyen, semua individu berkelayakan yang berhasrat untuk bertindak sebagai setiausaha perlu mendaftar dengan Pendaftar tanpa mengira latar belakang profesional mereka.

“AS 2016 juga memperuntukkan tempoh peralihan bagi setiausaha syarikat sedia ada untuk memohon perakuan amalan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kuat kuasa.

“Selaras dengan penguatkuasaan seksyen ini SSM juga akan memperkenalkan Peraturan-Peraturan Syarikat (Perakuan Amalan Bagi Setiausaha) 2019 dan Garis Panduan Berkaitan Perakuan Amalan Setiausaha Di bawah Seksyen 241 Akta Syarikat 2016 yang bertujuan menggariskan parameter prosedur pendaftaran serta tugas dan tanggungjawab setiausaha,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pendaftaran di bawah peruntukan itu akan menambah baik piawaian profesionalisme dan kompetensi dalam profesion kesetiausahaan dan memastikan pemantauan yang efektif oleh SSM melalui pangkalan data berpusat.

Semua permohonan perakuan amalan perlu dibuat secara dalam talian melalui https://esecretary.ssm.com.my.

Peraturan-Peraturan Syarikat (Perakuan Amalan Bagi Setiausaha) 2019 dan Garis Panduan Berkaitan Perakuan Amalan Setiausaha Di bawah Seksyen 241 Akta Syarikat 2016 juga boleh diakses secara dalam talian melalui portal SSM www.ssm.com.my. - UTUSAN ONLINE