Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun berkata, penukaran kad baharu itu boleh dilakukan di Stesen LRT Awan Besar, LRT Subang Jaya, LRT Sri Rampai dan Hab Bas Pasar Seni pada setiap hari.

Beliau berkata, inisiatif tersebut diambil bagi melancarkan perjalanan pengguna Transit Ali­ran Massa (MRT) yang dibuka sepenuhnya pada 17 Julai depan.

“Untuk pengetahuan umum, MRT hanya menggunakan kaedah tiket secara token dan kad ‘Touch n Go’. Jika kad MyRapid yang sedia ada tidak ditukar, ia akan memberi masalah kepada pengguna.

“Oleh itu, masyarakat dinasihatkan untuk menukar kad tersebut sebelum tarikh tutup bagi melancarkan perjalanan ketika menggunakan perkhidmatan baharu itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Bagaimanapun tambah Jin Aun, setakat ini sekurang-kurangnya 40 peratus atau 85,000 daripada 220,000 pengguna kad konsesi MyRapid yang sudah menukar kepada MyRapid ‘Touch n Go’.

“Penukaran kad itu tidak mengambil masa yang lama iaitu kira-kira lima hingga sepuluh minit sahaja. Diharap orang ramai dapat merebut peluang tersebut.

“Selain itu, pengguna kad nilai simpanan (SVT) MyRapid boleh menukar kad mereka di 79 stesen LRT,” katanya lagi.