Program yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM10,450 itu dianjurkan dengan kerjasama antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kerajaan Negeri Selangor dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, aktiviti tahunan tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya golongan belia untuk berkongsi dan menyemarakkan semangat kebangsaan melalui acara nyanyian.

“Pemilihan Petaling Jaya sebagai tuan rumah pada tahun ini sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan bandar raya ini sebagai lokasi kota seni di negeri ini.

“Selain itu, SNPS 2018 juga adalah aktiviti mengisi masa lapang masyarakat dalam usaha membanteras musuh nombor satu negara iaitu najis dadah,” katanya ketika berucap melancarkan program berkenaan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azizi, SNPS 2018 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 19 tahun ke atas secara solo, duet dan berkumpulan.

“Para peserta perlu mendaftar sebelum 12 Ogos ini. Pendaftaran secara percuma boleh dibuat dengan mendapatkan borang di laman Facebook MBPJ dan atau Pemadan Negeri Selangor.

“Para peserta yang mendaftar akan menerima emel pengesahan untuk ke ujian saringan yang akan berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 18 dan 19 Ogos ini bermula dari pukul 8 pagi di Kompleks Arena Petaling Jaya,” katanya.

Kata beliau, ujian saringan itu akan diadili oleh tiga juri profesional iaitu penyanyi dan komposer Korie Aminuddin, pengurus artis lagenda Jojie Aminuddin dan guru vokal Sarah Ismail.

“Empat peserta terbaik dari setiap kategori akan melangkah ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 22 September ini pada pukul 8.30 malam di Dewan Sivik MBPJ.

“Pada malam sama, peserta akan berkongsi pentas bersama selebriti terkenal tanah air iaitu pemenang Gegar Vaganza 2016, Azharina yang bakal menyanyikan lagu untuk menyemarakkan lagi SNPN 2018,” katanya. - UTUSAN ONLINE