Pelbagai aktiviti diadakan untuk mengumpul dana sumbangan tersebut termasuk melalui perlawanan bola sepak amal antara pasukan tajaan Sasuke Premium Outlet selain pembelian daripada pelanggan di setiap outlet.

Pengurus Operasi Sasuke Premium Outlet, Nur Athirah Johari berkata, baru-baru ini pasukan tajaannya iaitu Toq FC yang diketuai oleh artis Tauke Jambu telah mengadakan perlawanan amal dengan pasukan RMC FC yang diketuai Datuk Fizz Fairuz.

“Kami telah bekerjasama dengan Toq FC sejak Mac lalu, melalui perlawanan amal ini kita berjaya kumpulkan sumbangan untuk diagihkan ke rumah-rumah kebajikan. Sebelum ini kita beri sumbangan kepada pelajar austisme.

“Dalam perlawanan yang berlansung di Padang Bola Sepak Akademi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) itu, Toq FC diwakili oleh artis-artis tempatan seperti Zain Saidin, Mamak Puteh, Ajak Shiro, Sharif Zero, Azrol Cham dan ramai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nur Athirah, hasil kutipan sempena perlawanan amal tersebut akan diserahkan kepada ibu tunggal di Rumah Titian Kasih di Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi membantu mereka membuat persiapan hari raya tidak lama lagi.

“Kita juga melibatkan pelanggan dalam menjayakan program amal ini di mana dengan setiap resit pembelian yang bernilai RM30 dan ke atas, RM1 akan disumbangkan terus kepada rumah-rumah kebajikan yang terpilih,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bersempena perlawanan amal tersebut, pihaknya juga turut menyerahkan jersi baharu kepada pasukan Toq FC yang juga merupakan pasukan tajaan Sasuke Premium Outlet. - UTUSAN ONLINE