Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, inisiatif itu merupakan kerjasama pihaknya dengan Kementerian Pertahanan bagi membolehkan setiap anggota tentera memiliki rumah sendiri di ibu kota.

Katanya, kediaman berkeluasan antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi itu dan akan dijual pada harga RM150,000 hingga RM250,000 seunit.

“Kementerian turut bersetuju meluluskan peruntukan seba­nyak RM100,000 bagi membesarkan padang permainan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Kem Sungai Besi.

“Selain itu, sebanyak RM150,000 juga akan diluluskan untuk membina sebuah padang futsal di Kem Sungai Besi bagi membolehkan anggota tentera serta anggota keluarga bermain futsal selepas projek Sasar dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kenduri 1Wilayah Parlimen Bandar Tun Razak di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada Tabung Kebajikan Rejimen (TKR) Markas Peme­rintahan Medan Tentera Darat yang diwakili Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin.

Sementara itu, Rizalman ber­kata, pihaknya berharap pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mempertimbangkan keperluan menambah laluan masuk dan keluar penghuni rumah Sasar untuk mengurangkan kesesakan.

“Laluan utama ke kawasan perumahan Sasar di Kem Su­ngai Besi perlu lebih diutamakan kerana apabila projek itu siap, bilangan keluar masuk kenderaan akan bertambah dan trafik dijangka semakin sesak,” katanya.