Ahli Dewan Undangan Ne­geri Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, tindakan itu diambil susulan laporan Utusan Malaysia berhubung isu kawasan itu yang dicemari sampah-sarap baru-baru ini.

“Kita dapati ada kontraktor dan individu tidak bertanggung jawab telah menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat pembuangan sampah.

“Kerja pembersihan telah dilakukan dengan menggunakan jentolak dan lori pengangkut sampah.

“Kita ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk individu yang secara sukarela menyumbang tenaga,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Turut serta dalam gotong-royong itu Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kawasan Bukit Kepayang menjadi lokasi pembuangan sampah sehingga mencemari lokasi berkenaan yang menjadi lokasi riadah te­r­utama pada waktu pagi dan petang.

Menurut Lee Koon, kawasan yang merupakan laluan untuk ke tangki air milik Sains itu terletak di bawah jagaan syarikat berkenaan.

Lee Koon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri berkata, pihak MPS telah meminta Sains menutup laluan tersebut dengan besi penghalang bagi mengelak kawasan itu dimasuki kenderaan.

“Tapi oleh kerana orang ramai menggunakan laluan itu untuk beriadah, MPS membuat keputusan untuk membina laluan konkrit bersebelahan dengan tiang penghalang supaya tidak menyusahkan penunjung,” jelasnya.

Beliau berharap Sains akan membuat penyelenggaraan ber­terusan di kawasan itu dan dapat memastikan orang ramai sen­tiasa menjaga kebersihan lo­kasi riadah berkenaan.