Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, PBAKL 2019 diserbu pengunjung sejurus dibuka pada pukul 10 pagi dan menerima sambutan luar biasa daripada mereka yang membawa ahli keluarga dan rombongan pelajar sekolah.

Berdasarkan pemerhatian, memandangkan dua hari terakhir jatuh pada cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad pengunjung sanggup bersesak untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan dengan harga jauh lebih murah apabila pempamer turut menawarkan diskaun hebat kepada pengunjung pada dua hari terakhir.

Seorang pelajar, Nur Athirah Azhar, 17 berkata, dia sangat teruja apabila melihat pelbagai buku yang dijual di PBAKL malah harganya murah berbanding di kedai.

“Ini pertama kali kunjungan saya ke PBAKL dan jika diizinkan saya akan datang lagi pada tahun depan,” katanya.

Acara selama 10 hari bermula 29 Mac dan berakhir Ahad ini menempatkan 700 buah gerai melibatkan lebih 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura.-UTUSAN ONLINE