Program anjuran Suria KLCC Sdn. Bhd. itu diinspirasikan daripada nostalgia raya di kampung dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti dan persembahan khusus untuk pengunjung sambil menikmati keseronokan membeli-belah.

Ini antaranya tarian fiesta, gamelan, silat, tarian cilik, ulasan makanan dan demonstrasi masakan daripada Chef selebriti, Sherson Lian selain pengumpulan dana untuk pesakit atrofi otot tulang belakang (SMA).

Pengerusi Suria KLCC Sdn. Bhd., Datuk Hashim Wahir berkata, acara tahunan itu bertujuan menyemarakkan sambutan Ramadan dan Raya selain usaha menarik minat pelancong menyaksikan keunikan budaya dan tradisi masyarakat di negara ini.

“Ini dapat memberikan semangat sebenar hari raya tanpa mengira di mana ia diraikan sama ada di desa atau di kota. Harapan saya supaya program ini dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara satu sama lain.

“Kami bertekad untuk terus melaksanakan program yang akan mewujudkan pengalaman membeli-belah yang tidak dapat dilupakan oleh pengunjung,” katanya ketika berucap melancarkan program Ramadan Raya dan Komuniti Bersama WeCareJourney di sini.

Menurut Hashim, pihaknya turut membina rumah kampung tradisional di centre court sebagai peluang untuk pengunjung merakamkan gambar kenangan bersama rakan-rakan dan keluarga sepanjang kempen itu berlangsung.

“Selain itu, lebih istimewa apabila pengunjung juga dapat berpeluang melihat struktur ketupat terbesar dengan ukuran 21.3 meter tinggi dan 14 meter lebar yang ditempatkan di Esplanade KLCC,” katanya.

Kata Hashim, selain Suria KLCC, program Ramadan Raya turut diadakan di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya dan Mesra Mall, Terengganu.