Menurut Pengarah Teknikal Debat Perdana, Muhamad Ikmal Jamaluddin berkata, pertandingan debat ini sangat banyak membuka peluang kepada pelajar sebagai medan perbincangan idea secara ilmiah disamping membina bakat berkomunikasi dengan lebih baik di hadapan khalayak.

“SAMBBST telah mengambil langkah yang terbaik dengan menganjurkan debat sebegini dan sudah pasti para peserta dapat mengasah, menguji, dan memperkasakan ilmu pengetahuan semasa mereka seiring dengan konsep pembelajaran Abad ke-21.

“Menariknya juga, kita didik dan sematkan kemahiran pengurusan kepada para pelajar lain yang bertindak sebagai unit pertandingan. Dan sudah pasti aktiviti ilmiah sebegini wajar dimasukkan ke dalam takwim tahunan SAMBBST,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejohanan tersebut mendapat penyertaan dari 24 buah sekolah di seluruh Malaysia termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan pelbagai lagi.

Pertembungan idea dalam kalangan peserta dilihat sangat baik ekoran tajuk atau usul yang dibahaskan dalam pelbagai tema seperti keamanan, ekonomi, generasi belia, perpaduan dan Pendidikan.

Di akhir pertandingan, Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) berjaya dinobatkan sebagai johan menewaskan pencabar mereka dari sekolah Alam Shah (SAS).

Bagaimanapun, SAMBBST selaku tuan rumah turut mencipta pencapaian tersendiri apabila wakil mereka berjaya tersenarai dalam 10 pendebat terbaik keseluruhan liga.

Yang turut hadir sebagai penel hakim jemputan, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia (INFAD), Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri dan Pendakwah Selebriti, Daie Fuad Mokhtar. – UTUSAN ONLINE.