Salim Majid Zain

FWD Takaful dalam kenyataannya berkata, Salim berkhidmat sebagai CEO di Zurich Takaful Malaysia selama 12 tahun sebelum menyertai FWD.

Katanya, beliau memainkan peranan penting dalam memimpin syarikat tersebut untuk menjadi antara penyedia takaful komposit yang terbaik di pasaran.

“Salim membawa bersama pengalaman industri dan kebolehan beliau yang tinggi. Dengan pengalaman kerjaya selama lebih dua dekad, beliau adalah individu yang dikenali dan dihormati dalam industri terutama dalam membimbing kakitangan dan mencapai kejayaan komersial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pengedaran dan Pengarah Urusan Pasaran Membangun FWD Group, Binayak Dutta berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan Salim ke dalam Lembaga Pengarah dan memanfaatkan kepakaran serta rekod prestasi cemerlang untuk syarikat.

“Dengan latar belakang industri yang luas dan gabungan pendekatan berpandukan matlamat serta mengutamakan pelanggan menjadikan beliau seorang yang bernilai kepada pasukan kepimpinan kami. Saya yakin Salim akan memacu pertumbuhan dan meluaskan capaian kami di Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE