Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibahas oleh 12 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang secara umumnya menyokong kewujudan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) sebagai badan yang bertanggungjawab membanteras aktiviti menyalahi undang-undang khususnya pemerdagangan orang serta penyeludupan di kawasan sempadan negara.

Pengoperasian Aksem secara pentadbiran telah mula dilaksa­nakan pada 2 November 2015 dengan hanya mengguna pakai skim perjawatan sedia ada.

Melalui rang undang-undang itu, fungsi Aksem diperluaskan bagi melaksanakan kawalan dan menjalankan operasi sehingga ke garis sempadan negara bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang termasuk di Sabah dan Sarawak.

Rang undang-undang tersebut membolehkan agensi yang membentuk Aksem ditambah dengan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ahmad Zahid ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua menjelaskan, dalam tempoh Janua­ri hingga Jun tahun ini, Aksem telah berjaya mencatatkan nilai rampasan bernilai RM18.6 juta.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, jumlah itu adalah lebih banyak berbanding RM18.2 juta nilai rampasan dicatatkan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) pada 2014 iaitu sebelum Aksem ditubuhkan.

“Sejak penubuhannya, Aksem telah berjaya melaksanakan fungsi dengan cukup berkesan. Tahun pertama operasi iaitu pada 2016, nilai rampasan barangan adalah sebanyak RM38.6 juta,” katanya.

Ahmad Zahid juga menjelaskan, rang undang-undang itu akan menambah kekuatan anggota Aksem serta peranannya tanpa melibatkan sebarang pertambahan kos baharu.

Isu sempadan negara dibolosi merupakan antara perkara yang sering menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang mengetengahkan permasalahan itu dalam beberapa siri laporan khas sejak 2015.