Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pencapaian positif itu merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan rumah kediaman mampu milik kepada golongan sasar yang diperuntukkan melalui kementeriannya.

“Pencapaian 100,000 unit Rumawip itu merangkumi kategori ‘siap’, ‘dalam pembinaan’ dan ‘kelulusan perintah pembangunan’. Sebelum ini, sasaran hanya 80,000 unit akan dibina sebagai inisiatif kerajaan dalam membantu menyediakan rumah kos rendah di ibu negara.

“Projek terbaharu ialah pembinaan 2,000 unit Rumawip di Pre­sint 7. Melalui projek itu, buat pertama kalinya sebanyak 500 unit akan dijual pada harga RM80,000 kepada golongan berpendapatan rendah dan orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Tengku Adnan, selain memberi penekanan kepada pemilikan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kementeriannya juga telah me­ngambil pelbagai inisiatif untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada golongan sasar.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Putrajaya berkata, dalam aspek pendidikan pula, kerajaan menyediakan bas sekolah percuma kepada 12,000 orang murid dan pelajar selain memperluaskan kemudahan Tuisyen 1Wilayah.

“Kita juga menyediakan geran tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Untuk pembangunan sosial, kita juga telah melancarkan penjenamaan semula Kad Ceria Wilayah dan kad itu diagihkan secara percuma dan dikhususkan kepada mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Kad Ceria Wilayah dahulunya dikenali sebagai Kad Komuniti Ceria dan dilancarkan pada Februari 2015 itu menawarkan potongan diskaun barangan tertentu bagi pembelian di lebih 2,000 kedai dengan 70 rakan niaga yang mengambil bahagian.

Mengulas mengenai projek-projek baharu yang dilaksanakan kementeriannya, Tengku Adnan berkata, sebuah projek pemba­ngunan semula terminal pengangkutan awam Putrajaya Sentral akan dilaksanakan bagi pelaksa­naan pembangunan laluan kedua Transit Aliran Massa (MRT).

“Projek tersebut dijangka siap dan mula beroperasi pada suku kedua 2022. Selain itu, sebuah pusat penjaja bumiputera juga akan dibangunkan di Presint 7 dan Presint 9 di sini khusus untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang tinggal di Putrajaya dan kawasan sekitar.

“Saya juga sebelum ini telah menyempurnakan dua projek pecah tanah tempat letak kereta bertingkat di kuarters di Presint 8 dan Presint 9. Projek yang menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu dibina untuk memberi kemudahan kepada penghuni kuaters ber­kenaan,” katanya.