Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kelonggaran itu diberikan dalam kes tertentu seperti pemilik berpindah kerja dari Kuala Lumpur ke kawasan lain untuk mengelak daripada kediaman mereka dibiarkan kosong.

“Dalam hal ini, kementerian memberi kelonggaran dengan syarat sewaan itu hendaklah diberikan kepada warga tempatan sahaja dan bukan warga asing.

“Badan Pengurusan Bersama (JMB) sentiasa memantau pemilik dan penyewa supaya mematuhi dasar Rumawip iaitu rumah mesti dihuni rakyat tempatan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci kediaman Residensi Sentulmas, di sini.

Beliau berkata, dalam kes terbaharu di Rumawip Residensi Pandanmas di sini, terdapat warga asing menyewa dua unit dan dikenakan tindakan serta merta dengan dihalau keluar dari kediaman berkenaan manakala pemilik diberi amaran oleh kementerian.

Selain itu, katanya, mengikut syarat asal, pemilik tidak boleh menjual kediaman mereka dalam tempoh 10 tahun supaya ia benar-benar dimanfaatkan sebagai tempat tinggal sendiri dan ahli keluarga.

Dalam program berkenaan, seramai 351 pemilik kediaman Residensi Sentulmas yang diba­ngunkan Syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. diberikan kunci sebelum dibenarkan untuk mendudukinya tidak lama lagi.

Tengku Adnan berkata, projek dimulakan pada 2015 itu berjaya disiapkan dalam tempoh 23 bulan lebih awal berikutan faktor perancangan pemba­ngunan efektif daripada pemaju serta sinergi baik bersama agensi kerajaan dan juga penduduk setempat yang menjadi pemangkin ke arah itu.

“Para pembeli sebenarnya amat bertuah kerana projek ini amat strategik dan terletak di tengah-tengah pusat bandar. Kemudahan disediakan juga bertaraf kondominium seperti kolam renang, kawasan rekreasi, gimnasium, dewan serbaguna, surau dan infrastruktur lain,” katanya.

Residensi Sentulmas dibina di atas tanah berkeluasan 0.47 hektar yang menawarkan satu blok berketinggian 30 tingkat dengan 351 unit kediaman.

Kediaman Rumawip berkeluasan 900 kaki persegi itu ditawarkan pada harga RM300,000 seunit dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak parkir.